Monday, November 9, 2009

ADAB YANG BAIK DISEMAI DARI KECIL

Melentur buluh biar dari rebung. Serangkai kata dari pepatah orang tua mengingatkan kita betapa proses pendidikan hendaklah dimulakan sedari usia yang awal. Antara tanggungjawab yang amat penting sekali dan wajib diusahakan oleh ibu bapa ialah membiasakan anak-anak dengan adab dan budi pekerti mulia. Supaya dewasanya kelak, akhlaknya terpancar dari diri, lantaran ia telah mendarah daging dan menjadi pakaian peribadi.
Sabda Rasulullah s.a.w.:“Tiada suatu pemberian yang diberikan oleh seorang ayah kepada anaknya lebih utama daripada budi pekerti yang baik.” (Riwayat Ibnu Majah)

Adab Bangun Tidur

1. Menjelang waktu tidur, ingat-ingatkan anak-anak tentang niatnya menjelang tidur iaitu supaya dengan tidur kita mampu mengerjakan solat, memiliki tubuh badan yang sihat dan dapat belajar dengan tenang. Jangan dijadikan amalan anak-anak tidur lewat kerana impak negtifnya pada kesihatan di samping menjejaskan tumpuan di sekolah.

2. Pesankan anak-anak jangan tidur setelah solat Subuh dan solat Asar kerana mewarisi kepapaan dan kegilaan.

3. Pesankan anak-anak jangan tidur sejurus selepas makan kerana bukan sahaja tidak baik pada kesihatan malah mewarisi sifat malas.

4. Ajarkanlah anak-anak berwuduk sebelum tidur.

5. Ajarkanlah anak-anak supaya tidur di atas sisi yang kanan. Dari petunjuk yang diberi Nabi s.a.w. dalam hal ini iaitu: “Hendaklah tidur mengiring ke kanan, sebab tidur mengiring ke kiri itu akan membahayakan jantung, dan menyesakkan pernafasan.”

6. Pastikan anak-anak mengenakan pakaian tidur dan memberus gigi sebelum tidur.Pastikan alas tidur dikibas dahulu sebelum mereka merebahkan badan.

7. Pesankan dan nasihati anak-anak agar memaafkan setiap kesalahan orang lain sebelum tidur. Di samping didiklah dia meminta maaf kepada ibu bapa dan adik-beradik yang lain.

8. Ajarkanlah anak-anak doa sebelum tidur:“Segala puji bagi Allah yang menghidupkan kami setelah mematikan (menidurkan) kami dan hanya kepada-Nya kami kembali.”

9. Bimbinglah anak-anak membaca surah al-Ikhlas, al-Falaq dan an-Nas serta ayat Kursi sebelum melelapkan mata. Fadilat mengamalkan surah ini, diri akan terhindar dari gangguan jin dan manusia.

Pada waktu pagi:

Alangkah baiknya jika tatkala anak bangun tidur, kita iringi kesedaran mereka itu dengan zikir kepada Allah iaitu dengan membaca doa ini:“Segala puji-pujian bagi Allah, yang telah menghidupkan kita, sesudah dimatikan kita, dan kepada-Nyalah kita akan kembali.”(Riwayat Bukhari dan Muslim)

Adab Masuk Bilik Air dan Tandas

Apabila si anak mempunyai hajat untuk memasuki bilik air, maka ajarilah dia adab-adab masuk ke tandas dan adab-adab istinja’ (mensucikan diri dari najis):

1. Ajarlah anak supaya dia mendahulukan kakinya yang kiri, ketika hendak masuk ke dalam bilik air, dan mendahulukan kaki kanan ketika hendak keluar. Ini kerana ajaran agama menuntut kita memulakan dengan kanan pada hal-hal yang baik, dan memulakan yang kiri pada hal-hal yang kurang baik.

2. Pakailah selipar atau apa saja bentuk alas kaki. Tekankan pada anak-anak supaya menutup kepala dengan kopiah dan seumpamanya.

3. Ajarlah anak ketika masuk bilik air supaya membaca doa ini:“Ya Allah, ya Tuhanku! Sesungguhnya aku berlindung diri kepada-Mu daripada syaitan jantan dan syaitan betina.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

4. Ajarkanlah anak supaya tidak membawa bersamanya apa-apa yang tertulis nama Allah, sebagaimana yang diriwayatkan dari Anas r.a. katanya: “Adalah Rasulullah s.a.w. apabila masuk ke dalam tandas, diletakkannya cincinnya di luar yang di atasnya terukir nama ‘Muhammad Rasul Allah’.” (Riwayat al-Hakim)

5. Ajarkanlah anak supaya tidak menghadap kiblat, dan tidak pula membelakangkan kiblat, sebagaimana pesanan baginda dalam sabdanya:“Jika kamu hendak buang air besar, maka janganlah kamu menghadap kiblat, dan janganlah membelakanginya, akan tetapi hadapilah ke timur dan ke barat. (Riwayat Bukhari dan Muslim)

6. Ajarkanlah anak supaya tidak melepaskan hajat di tempat teduhan ramai, di perjalanan dan di tempat-tempat duduk awam. Sebagaimana yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a., katanya, “Telah berkata Rasulullah s.a.w.: ‘Jagalah diri kamu dari dua kutukan!’ Para Sahabat bertanya, ‘Apa itu dua kutukan?’ Jawab baginda, ‘Orang yang melepaskan hajatnya di jalanan orang ramai, atau di tempat teduhan mereka’.” (Riwayat Muslim dan Ahmad)

7. Ajarkanlah anak supaya tidak berkata-kata sekalipun menjawab salam pada waktu melepaskan hajat. Ini sebagaimana yang diriwayatkan oleh Muslim dan selainnya, daripada Ibnu Umar bahawasanya seorang lelaki di sisi Nabi s.a.w ketika itu baginda sedang buang air kecil, maka orang itu memberi salam kepadanya, tetapi baginda tidak menjawab salamnya.

8. Ajarkanlah anak supaya berdehem-dehem supaya tus air kencingnya. Ajarkan padanya cara-cara menyuci dirinya dari tempat najis supaya tidak terkena pada baju atau badannya. Kebanyakan seksa kubur berlaku ke atas orang yang tidak mengetus kencingnya iaitu sebagaimana diriwayatkan oleh ad-Daraquthni daripada Abu Hurairah r.a. katanya, “Telah berkata Rasulullah s.a.w.: ‘Tuskanlah dirimu dari kencing, sebab umumnya seksa kubur itu dari tidak mengetus dari kencing’.”

9. Ajarkanlah anak supaya tidak beristinjak dengan tangan kanan. Abu Qatadah r.a. meriwayatkan bahawa Nabi s.a.w. berkata, “Jika seseorang kamu buang air kecil, maka janganlah dia memegang zakarnya (kemaluannya) dengan tangan kanannya, dan janganlah berisitnja’ dengan tangan kanannya....” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

10. Ajarkanlah anak-anak apabila hendak keluar dari tandas mendahulukan kaki kanan, sambil membaca doa ini:“Kupohon keampunan daripada-Mu.” (Riwayat Abu Daud dan at-Tirmizi)“Segala pujian bagi Allah yang telah menghilangkan bahaya daripadaku dan telah memulihkanku.” (Riwayat Ibnu Majah)

11. Ajarkanlah anak-anak ketika keluar dari tandas supaya membasuh kedua tangan dengan air dan sabun; iaitu sebagaimana yang diriwayatkan oleh an-Nasa’i daripada Jarir bin Abdullah r.a., katanya: Aku bersama Nabi s.a.w. lalu baginda pergi ke tandas, serta menunaikan hajatnya. Kemudian baginda berkata: Wahai Jarir, bawakan air! Aku pun membawakan air kepadanya, dan baginda beristinja’, lalu baginda menggosokkan tangannya pada tanah. (Sekarang tanah boleh digantikan dengan sabun).

Koleksi ANIS /Oleh: Norhashimah Abd Rahman

22 PERKARA BERKAITAN PENDIDIKAN ANAK-ANAK

Ibu bapa yang matang harus tahu bagaimana cara untuk membentuk anak-anak mereka. Dalam hal ini ibu bapa harus bersepakat mendidik dan mewarnai hidup anak-anak. Hendaklah perlakuan ibu bapa yang menjadi contoh kepada anak-anak seragam tanpa ada perbezaan.

Anak-anak akan menjadi keliru jika ibu bapa mempunyai pandangan yang berbeza dalam mendidik mereka. Jangan ada pandangan yang berbeza antara ibu dan bapa. Misalnya, si ibu menentang sesuatu yang anak lakukan sedangkan si bapa membenarkan.Ibu bapa juga harus berwaspada dengan perlakuan datuk dan nenek atau saudara-saudara yang lain yang berlawanan dengan perlakuan ibu bapa. Kerana ia boleh meruntuhkan cara pendidikan yang telah diberikan oleh ibu bapa kepada anak-anak.

Untuk mendidik anak-anak dengan cara penampilan yang baik, ada beberapa perkara yang harus diamalkan:
1) Biasakan anak-anak menyebut nama Allah s.w.t. ketika mulai makan dan minum serta bersyukur kepada Allah s.w.t. sesudah selesai makan.
2) Jangan biarkan makan terburu-buru, biasakan anak-anak mengunyah makanan dengan baik.
3) Biasakan anak mulakan makan makanan yang berada paling dekat di depannya.
4) Biasakan anak mencuci tangan sebelum dan sesudah makan.
5) Biasakan anak makan dengan wajar dan jauhkan daripada sifat rakus.
6) Biasakan anak membuang hingus dengan tangan kiri, begitu juga jika membuang kotoran.
7) Jangan biarkan anak menghisap jari dan menggigit kuku.
8) Hendaklah membiasakan dia memberi dan menerima makanan dengan tangan kanan.
9) Jangan biasakan anak memakai baju atau seluar yang pendek, sebaliknya biasakan anak-anak menutup aurat sejak mereka masih kecil lagi.
10) Jangan biasakan anak tidur tertiarap.
11) Biasakan anak makan roti kering tanpa kuah sehingga dia tidak menganggap kuah itu sebagai suatu keharusan.
12) Biasakan anak memberus giginya ketika bangun tidur di waktu sesudah makan dan di waktu hendak tidur.
13) Biasakan anak mengucap dua kalimah syahadah dan mengulang-ulangnya beberapa kali setiap hari.
14) Biasakan anak membaca alhamdulillah setiap kali bersin.
15) Suruh anak menutup mulut setiap kali menguap (sangap).
16) Biasakan anak berterima kasih di atas kebaikan orang lain.
17) Biasakan anak berjalan di jalan yang telah disediakan. Larang ia bermain-main di jalan raya kerana ini amat merbahaya dengan kehadiran kenderaan yang lalu-lalang.
18) Jangan biarkan anak melemparkan kekotoran di jalan tetapi suruh ia meyingkirkan gangguan seperti duri, batu, kaca dan sebagainya.
19) Suruh dia mengucap salam dengan sopan kepada sesiapa yang ditemuinya serta menjawab salam cara sopan.
20) Hendaklah anak menghormati milik orang lain dan jangan biarkan dia mengambil barang permainan orang lain.
21) Jangan ibu bapa bertengkar di hadapan anak kerana sikap ini menghilangkan wibawa orang tua di mata anak mereka.
22) Biasakan anak menjawab azan, mengucap selawat kepada Nabi s.a.w. sesudah azan dan doa memohon wasilah bagi Nabi.

Perkara ini hendaklah dilakukan selalu agar anak-anak terbiasa dengan perkara-perkara yang baik.Untuk membiasakan didikan-didikan di atas, ia memerlukan kesefahaman, kesepakatan dan kerjasama antara ibu bapa. Kita sudah sepakat dan saling bekerjasama untuk menerapkan didikan tersebut ke atas diri anak kita sejak anak itu kecil lagi, iaitu ketika umurnya antara tujuh sehingga 14 tahun.

Ini adalah masa yang terbaik ibu bapa mendisiplinkan anak-anak. Insya-Allah anak kita akan menjadi anak yang sejuk mata memandang dan menjadi pemimpin pada orang-orang yang beriman kelak. Seterusnya untuk menjadikan anak kita cemerlang, gemilang dan terbilang.
Dipetik dari Majalah ANIS
Oleh: Ustazah Siti Nor Bahyah Mahamood