Wednesday, October 6, 2010

HIKMAH DAN HUKUM IBADAH KORBAN

Hari raya Aidiladha merupakan salah satu dari hari kebesaran dan perayaan bagi seluruh umat Islam.

Anas bin Malik r.a berkata: Nabi s.a.w pernah datang ke Madinah sedangkan penduduknya memiliki dua hari raya. Pada kedua-duanya mereka bermain-main (bergembira) di masa jahiliah. Lali baginda bersabda:

إِنَّ اللَّهَ قَدْ أَبْدَلَكُمْ بِهِمَا خَيْرًا مِنْهُمَا يَوْمَ الأَضْحَى وَيَوْمَ الْفِطْرِ
Maksudnya:
“Sesungguhnya ALLAH telah menggantikan kedua-duanya bagi kamu semua dengan dua hari yang lebih baik, iaitu hari raya Aidiladha dan Aidilfitri.” - Hadis riwayat al-Nasaai, di dalam Sunan al-Nasa’i, hadis no: 959.

Aidiladha juga diberi gelaran sebagai hari raya haji kerana ia diraikan ketika umat Islam mengerjakan salah satu dari amal ibadah yang termasuk di dalam rukun Islam yang lima, iaitu ibadah haji. Di samping itu, Aidiladha juga dikenali sebagai hari raya korban kerana antara syiar semasa merayakannya adalah mengorbankan haiwan seperti unta, lembu, kambing dan biri-biri.
Ibadah korban dilakukan sempena memperingati kisah pengorbanan Nabi Ibrahim a.s yang sanggup menyembelih anak kesayangannya Nabi Ismail a.s kerana taat kepada perintah ALLAH. Namun, berkat kesabaran serta ketaatan kedua-dua ayah dan anak ini maka ALLAH telah menggantikannya dengan seekor binatang ketika Nabi Ibrahim sudah bersedia menyembelih anaknya itu. Peristiwa ini telah dirakamkan oleh ALLAH sebagaimana firman ALLAH S.W.T:

"Maka ketika anaknya itu sampai (ke peringkat umur yang membolehkan dia) berusaha bersama-sama dengannya, Nabi Ibrahim berkata: Wahai anak kesayanganku! Sesungguhnya aku melihat dalam mimpiku bahawa aku akan menyembelihmu. Apakah pendapatmu? Anaknya menjawab: Wahai ayah, lakukanlah apa yang diperintahkan kepadamu. Insya ALLAH, ayah akan mendapati aku termasuk orang-orang yang sabar.
Setelah kedua-duanya berserah bulat-bulat (menjunjung perintah ALLAH itu), Nabi Ibrahim merebahkan anaknya dengan meletakkan iringan mukanya di atas tompok tanah. (KAMI sifatkan Ibrahim dengan kesungguhan azamnya itu telah menjalankan perintah KAMI).
Lantas KAMI menyerunya: Wahai Ibrahim! Engkau telah menyempurnakan maksud mimpi yang engkau lihat itu. Demikianlah sebenarnya KAMI membalas orang-orang yang berusaha mengerjakan kebaikan.
Sesungguhnya perintah ini adalah satu ujian yang nyata dan KAMI tebus anaknya itu dengan seekor binatang sembelihan yang besar serta KAMI kekalkan baginya (nama yang harum) di kalangan orang-orang yang datang terkemudian." – Surah al-Soffaat: 101-108.

Rentetan dari peristiwa ini, saban tahun ketika merayakan hari raya Aidiladha maka umat Islam menyembelih binatang-bintang korban lalu mengagih-agihkannya kepada golongan yang kurang bernasib-baik seperti orang miskin, anak yatim, orang Islam yang sedang ditimpa musibah dan lain-lain lagi.


KEUTAMAAN MENGERJAKAN IBADAH KORBAN

Ibadah korban ini memiliki keutamaan yang begitu besar bagi mereka yang mengerjakannya.

Firman ALLAH S.W.T:

"Dan KAMI jadikan unta (yang dihadiahkan kepada fakir miskin Makkah itu) sebahagian dari syiar agama ALLAH untuk kamu; pada menyembelih unta itu ada kebaikan bagi kamu. Oleh itu, sebutlah nama ALLAH (semasa menyembelihnya) ketika ia berdiri di atas tiga kakinya. Setelah ia tumbang (serta putus nyawanya), makanlah sebahagian daripadanya dan berilah (bahagian yang lain) kepada orang-orang yang tidak meminta dan yang meminta. Demikianlah KAMI memudahkannya untuk kamu (menguasai dan menyembelihnya) supaya kamu bersyukur.
Daging dan darah binatang korban atau hadiah itu tidak sekali-kali akan sampai kepada ALLAH. Tetapi, yang sampai kepada-NYA ialah amal yang ikhlas berdasarkan takwa daripada kamu. Demikianlah DIA memudahkan binatang-binatang itu bagi kamu supaya kamu membesarkan ALLAH kerana mendapat nikmat petunjuk-NYA. Dan sampaikanlah berita gembira (dengan balasan yang sebaik-baiknya) kepada orang-orang yang berusaha supaya baik amalnya." – Surah al-Haj: 36-37.

Melalui ayat di atas dapat kita senaraikan beberapa keutamaan ibadah korban seperti berikut:

1) Ibadah korban dapat membawa kebaikan dalam kehidupan bermasyarakat dengan mempereratkan hubungan kasih sayang antara golongan yang kurang bernasib baik seperti golongan fakir miskin, anak yatim, ibu tunggal dan seumpamanya dengan golongan yang bernasib baik melalui pengagihan daging-daging korban.

2) Ibadah korban berupaya membentuk insan yang bersyukur melalui penyembelihan haiwan korban yang dilakukannya dengan menggunakan hasil rezeki tersebut dalam rangka beribadah dan mendekatkan diri kepada ALLAH.

3) Ibadah korban dapat membentuk jiwa yang ikhlas kerana sejumlah wang ringgit telah dibelanjakan demi mendapat keredhaan ALLAH.

4) Ia juga merupakan bukti ketakwaan kita kepada ALLAH kerana menurut perintahnya.

5) Ibadah korban merupakan amalan mulia dan sesiapa yang menunaikan ibadah tersebut bakal mendapat ganjaran paling baik, iaitu syurga.

HUKUM IBADAH KORBAN

Para ulamak berbeza pendapat mengenai hukum melakukan ibadah korban. Ia terbahagi kepada dua pendapat, iaitu:

1. Wajib bagi yang mampu.

Ini merupakan pendapat Imam Abu Hanifah, Imam Malik, Rabi’ah al-Ra’yi, al-Auza’i, al-Laits bin Saad, salah satu dari pendapat Imam Ahmad bin Hanbal dan pendapat ini telah dirajihkan (dibenarkan) oleh Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah. Dalil-dalil yang menyokong pendapat ini adalah seperti berikut:

"Oleh itu, kerjakanlah solat kerana TUHANnmu semata-mata dan sembelihlah korban (sebagai bersyukur)." – Surah al-Kautsar: 2.

Ayat ini menggambarkan kewajipan ibadah korban sebagaimana kewajipan mengerjakan solat. Ini kerana, kedua-dua ibadah tersebut dihubungkan dengan kata penghubung wau (و) bermaksud 'dan' yang mana ia menunjukkan ada persamaan hukum.

Jundab bin Abdillah bin Sufyan al-Bajali r.a berkata:

صَلَّى النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَوْمَ النَّحْرِ ثُمَّ خَطَبَ ثُمَّ ذَبَحَ فَقَالَ: مَنْ ذَبَحَ قَبْلَ أَنْ يُصَلِّيَ فَلْيَذْبَحْ أُخْرَى مَكَانَهَا وَمَنْ لَمْ يَذْبَحْ فَلْيَذْبَحْ بِاسْمِ اللَّهِ

Maksudnya:
"Nabi s.a.w solat pada hari al-Nahr (Aidiladha) kemudian berkhutbah lalu menyembelih (bintang) korbannya lantas bersabda: Sesiapa yang menyembelih sebelum solat (hari raya Aidiladha), sembelihlah yang lain sebagai penggantinya dan sesiapa yang belum menyembelih maka sembelihlah dengan nama ALLAH." – Hadis riwayat al-Bukhari di dalam Sahih al-Bukhari, hadis no: 985.

Perintah Rasulullah s.a.w agar mengulangi ibadah korban jika ia dilakukan sebelum solat hari raya Aidiladha menunjukkan ia termasuk perkara wajib. Jika tidak, sudah pasti baginda tidak akan memerintahkan agar penyembelihan diulangi.

Menurut Abu Hurairah r.a, Rasulullah s.a.w telah bersabda:

مَنْ كَانَ لَهُ سَعَةٌ وَلَمْ يُضَحِّ فَلاَ يَقْرَبَنَّ مُصَلاَّنَا
Maksudnya:
"Sesiapa yang memiliki kemampuan (keluasan rezeki) dan tidak menyembelih, maka jangan dekati tempat solat kami." – Hadis riwayat Imam Ibn Majah di dalam Sunan Ibn Majah, hadis no: 3114

Hadis ini berupa ancaman bagi golongan yang memiliki kemampuan untuk menyembelih pada hari raya Aidiladha tetapi tidak mengerjakan ibadah korban. Ancaman berat ini tidak akan dikeluarkan oleh baginda melainkan ia sebagai bukti mengenai kewajipannya.

Mikhnaf bin Sulaim r.a berkata:

كُنَّا وُقُوفًا مَعَ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِعَرَفَاتٍ فَسَمِعْتُهُ يَقُولُ: يَا أَيُّهَا النَّاسُ عَلَى كُلِّ أَهْلِ بَيْتٍ فِي كُلِّ عَامٍ أُضْحِيَّةٌ وَعَتِيرَةٌ. هَلْ تَدْرُونَ مَا الْعَتِيرَةُ؟ هِيَ الَّتِي تُسَمُّونَهَا الرَّجَبِيَّةَ.
Maksudnya:
"Kami bersama Rasulullah dan baginda wukuf di Arafah lalu berkata: Wahai manusia! Sesungguhnya wajib bagi setiap keluarga pada setiap tahun (mengerjakan ibadah) korban dan ‘atirah. Baginda berkata: Tahukah kalian apakah ‘atirah itu?. Iaitu yang dikatakan orang Rajabiyah (kambing yang disembelih pada bulan Rejab)." – Hadis riwayat al-Tirmizi di dalam kitab Sunan Tirmizi, hadis no: 1438.

Hadis ini jelas membuktikan bahawa ibadah korban dan ‘atirah itu diwajibkan kepada semua umat Islam yang berkemampuan. Walau bagaimanapun, hukum bagi ‘atirah telah dimansuhkan. Namun, ia tidak memansuhkan ibadah korban. Bahkan, kewajipannya masih berterusan hingga sekarang.

2. Sunat atau sunat muakkad (sunnah yang amat dituntut) bagi yang mampu.

Inilah pendapat jumhur (majoriti) ulama dan pendapat Imam Syafie r.h. Golongan ini berpegang kepada dalil-dalil seperti berikut:

Menurut Ummu Salamah r.a, Nabi s.a.w telah bersabda:

إِذَا دَخَلَتْ الْعَشْرُ وَأَرَادَ أَحَدُكُمْ أَنْ يُضَحِّيَ فَلاَ يَمَسَّ مِنْ شَعَرِهِ وَبَشَرِهِ شَيْئًا

Maksudnya:
"Jika masuk sepuluh hari pertama Dzulhijjah dan salah seorang daripada kamu semua ingin menyembelih (haiwan) korban, janganlah memotong sedikitpun dari rambut dan kukunya." – Hadis riwayat Muslim di dalam Sahih Muslim, hadis no: 1977.

Dalil ini menunjukkan bahawa ibadah korban tidak wajib berdasarkan kata-kata baginda 'dan salah seorang antara kamu semua yang ingin'. Ia menggambarkan kepada kita bahawa baginda memberi pilihan kepada sesiapa sahaja sama ada untuk menyembelih atau sebaliknya. Seandainya ibadah korban itu wajib, pasti baginda memberi pilihan kepada seseorang sambil berkata: “Janganlah memotong rambut dan kukunya sehingga selesai menyembelih haiwan korban.”

Jabir r.a berkata:

شَهِدْتُ مَعَ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ الأَضْحَى بِالْمُصَلَّى فَلَمَّا قَضَى خُطْبَتَهُ نَزَلَ مِنْ مِنْبَرِهِ وَأُتِيَ بِكَبْشٍ فَذَبَحَهُ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِيَدِهِ وَقَالَ بِسْمِ اللَّهِ وَاللَّهُ أَكْبَرُ هَذَا عَنِّي وَعَمَّنْ لَمْ يُضَحِّ مِنْ أُمَّتِي

Maksudnya:
"Aku menyaksikan bersama Nabi s.a.w solat Aidiladha di musolla (tanah lapang). Ketika selesai berkhutbah, baginda turun dari mimbar lalu dibawakan seekor kambing lantas Rasulullah menyembelihnya dengan tangannya sendiri sambil berkata: Bismillah wallahu Akbar (Dengan nama ALLAH dan ALLAH Maha Besar). Ini daripadaku dan daripada umatku yang belum meyembelih." – Hadis riwayat Abu Daud di dalam Sunan Abu Daud, hadis no: 2427.

Selain itu, kata-kata baginda 'ini dariku dan dari umatku yang belum menyembelih' diungkapkan secara lafaz mutlak dan umum bukan secara khusus. Bermakna, memadai ibadah ini diwakilkan kepada seseorang sebagaimana baginda mewakili seluruh para sahabat yang masih belum melakukan korban.

Inilah dalil menunjukkan ibadah korban tidak wajib. Sekiranya ia wajib, tentu bagi mereka yang meninggalkan ibadah tersebut berhak dihukum dan tidak memadai baginda mewakilkan korbannya itu kepada seseorang.

Abu Sarihah al-Ghiffari, beliau berkata:

مَا أَدْرَكْتُ أَبَا بَكْرٍ أَوْ رَأَيْتُ أَبَا بَكْرٍ وَ عُمَرَ كَانَا لاَ يُضَحِّيَانِ – فِي بَعْضِ حَدِيْثِهِمْ – كَرَاهِيَّةَ أَنْ يُقْتَدَى بِهِمَا

Maksudnya:
"Aku mendapati Abu Bakar atau melihat Abu Bakar dan Umar tidak menyembelih (haiwan) korban – dalam sebahagian hadis mereka – khuatir dijadikan ikutan orang terkemudian." – Hadis riwayat al-Baihaqi di dalam Sunan al-Kubra, jil. 9, ms. 295. Syeikh al-Albani telah mensahihkan riwayat ini di dalam Irwa’ al-Ghalil, hadis no: 1139.

Seandainya ibadah korban itu wajib, pasti Abu Bakar dan Umar r.a akan mendahului umat Islam dalam melakukan ibadah korban.


Sebelum membuat rumusan tentang hukum ibadah korban, kita hendaklah fahami bahawa hukum sunat atau wajib berkaitan sesuatu ibadah hanyalah berbentuk kajian ilmiah dan bertujuan mengetahui sama ada sesuatu amalan itu dibenarkan untuk ditinggalkan ataupun tidak sahaja. Namun, bagi mereka yang mencintai sunnah Nabi s.a.w sekiranya sesuatu amalan itu tsabit daripada baginda s.a.w mereka akan berusaha bersungguh-sungguh mengerjakannya tanpa memikirkan sama ada ia wajib atau sunat.

Namun, kedua-dua pendapat tersebut memiliki hujah daripada baginda s.a.w dan seharusnya kita berlapang dada dalam permasalahan khilafiyah sebegini.

Syeikh Muhammad al-Amin al-Syingqiti r.h berkata:

"Aku telah meneliti dalil-dalil daripada sunnah mengenai pendapat yang mewajibkan dan yang tidak mewajibkan ibadah korban. Menurut pandangan kami, tidak ada satu dalil dari kedua-dua pendapat tersebut yang kuat, pasti dan selamat dari kritikan sama ada menunjukkan ia wajib atau tidak…
Yang rajih (tepat) menurutku dalam hal yang tidak jelas mengenai nas-nas dalam suatu perkara kepada suatu perkara yang lain bahkan tanpa mempunyai dalil yang kuat dan jelas ialah berusaha sedaya mungkin keluar dari khilaf dengan melakukan korban apabila mampu. Ini kerana, Nabi s.a.w bersabda: “Tinggalkanlah perkara yang ragu kepada yang tidak ragu.”
Sepatutnya, seseorang tidak meninggalkannya apabila mampu kerana menunaikannya sudah pasti menghilangkan tanggung jawabnya." – Rujuk Kitab Adhwaa’ al-Bayaan Fi Idhah al-Quran bil Qur’an karya Syeikh Muhammad al-Amin al-Syanqiti, jil. 5 ms. 618.

Oleh itu, penulis lebih cenderung kepada pendapat jumhur (majoriti) ulama kerana mustahil Abu Bakar dan Umar r.a meninggalkan sesuatu amalan yang wajib apatah lagi mereka berdua merupakan imam yang layak manjadi ikutan dan kelayakkan mereka telah dijamin oleh Rasulullah s.a.w

Sabda Rasulullah s.a.w:

فَإِنْ يُطِيعُوا أَبَا بَكْرٍ وَ عُمَرَ يَرْتَشُدُوا
Maksudnya:
"Sekiranya mereka semua mentaati Abu Bakar dan Umar, pasti mereka mendapat petunjuk." – Hadis riwayat Muslim di dalam Sahih Muslim, hadis no: 681
Posted by Mohd Yaakub bin Mohd Yunus

Saturday, August 14, 2010

AMALAN-AMALAN SUNNAH PADA BULAN RAMADHAN

1.Berdoa ketika melihat anak bulan
Apabila seseorang melihat anak bulan untuk menentukan tarikh bermulanya bulan ramadhan, maka hendaklah dia berdoa seperti yang diajar oleh Rasulullah.

Apabila seseorang melihat al-hilal (anak bulan) maka berdoalah;

اللهم اهلله علينا باليمن والأيمان والسلامة والاسلام ربي وربك الله

Maksudnya: Ya Allah munculkanlah anak bulan ini ke atas kami dengan membawa keberkatan, keselamatan dan islam, Tuhanku dan Tuhanmu adalah Allah.

2.Bersahur
Sabda Baginda :

تسحروا فان في السحور بركة

Maksudnya: Makan sahurlah kalian, sesungguhnya di dalam makan sahur itu terdapat keberkatan.

3.Berpuasa
Di bulan ramadhan disyariatkan untuk berpuasa yakni meninggalkan makan dan minum serta segala perbuatan keji bermula dari terbit fajar sehingga terbenam matahari

4.Menghindari kata-kata keji dan perbuatan Jahil
Untuk memperolehi kesempurnaan dalam berpuasa seseorang itu haruslah menghindari perbualan yang sia-sia seperti mengumpat, bercakap kotor, berteriak dan mencerca manusia lain.

5.Tidak bertindak balas terhadap cercaan orang
Puasa mendidik seseorang itu menjadi penyabar. Oleh itu seseorang yang berpuasa disunnahkan untuk bersabar apabila dicerca mahupun diperangi oleh pihak lain dengan mengucapkan “Sesungguhnya aku sedang berpuasa”

6.Tidak dibenarkan berbohong
Berkata dusta boleh mencacatkan kesempurnaan puasa. Oleh itu syariat melarang seseorang itu bercakap bohong ketika berpuasa. Bahkan ALLAH mengancam untuk tidak menerima ibadat puasa jika berbohong

7.Bersedekah

8.Membaca Al-Quran

9.Berzikir, Berdoa dan Beristighfar
Ramadhan adalah bulan di mana pintu rahmat dan keampunan dibuka seluas-luasnya. Oleh itu hendaklah memperbanyakkan zikir, berdoa dan memohon keampunan kerana pahala akan diberi jauh lebih tinggi berbanding bulan-bulan lain

10.Melakukan Umrah

11.Berusaha mendapatkan Lailatulqadar

12.Menggandakan Ibadat dan beriktikaf pada sepuluh hari terakhir
Ketika beriktikaf adalah dianjurkan untuk memperbanyakkan ibadat sunat seperti bersolat, berdoa, berzikir, membaca al-Quran, berselawat dan mempelajari ilmu-ilmu agama.

13.Berbuka Puasa Mengikut al-Sunnah

(a)Membaca doa yang tsabit daripada Rasulullah SAW. Antaranya :
Abdullah Ibnu ‘Umar berkata : “ Apabila berbuka puasa, bacalah

اللهم إني اسالك برحمتك التي وسعت كل شيء ان تغفر لي

Maksudnya: “Ya Allah sesungguhnya aku memohon rahmatMu yang meliputi segala sesuatu agar ENGKAU mengampunkan aku.”

(b)Menyegerakan berbuka puasa
(c)Berbuka puasa dengan buah rutab, tamar atau air
Rutab adalah buah kurma yang masak dan tidak dikeringkan, lembut dan manis. Tamar pula buah kurma yang telah dikeringkan sebagaimana terjual di pasaran
(d)Bersegera mengerjakan solat maghrib
(e)Berbuka secara sederhana
(f)Menjamu makanan untuk berbuka puasa
Oleh : Mohd Yaakub Mohd Yunus

Saturday, July 31, 2010

BULAN RAMADHAN : ANUGERAH DARI ALLAH SWT

Setiap muslim pasti merasai kedatangan bulan penuh barakah, iaitulah bulan Ramadhan. Bermula sejak dari bulan Rejab sehinggalah Syaa
ban, ramai dalam kalangan mereka yang sudah mempersiapkan diri untuk menyambut kehadiran Ramdhan Al-Mubarak. Ada yang memperbanyakkan puasa di kedua-dua bulan tersebut di samping amal ibadah yang lain, untuk seterusnya menjadi suatu motivasi buat dirinya untuk lebih mempertingkatkan amalan di bulan Ramadhan.

Bulan Ramadhan hadir dengan seribu satu pengertian. Ia hadir setiap tahun dengan pelbagai kelainan. Setiap bulan Ramadhan, kelazatannya pasti berbeza, kerana Allah s.w.t. Maha Kaya dan anugerahNya tiada bandingannya.

Namun, apabila menjelang bulan Ramadhan, ramai manusia mempunyai tanggapan dan persepsi serta perasaan yang berbeza-beza. Ada sebahagian daripada mereka, apabila bulan Ramadhan tiba, pertama sekali di fikirannya adalah "lapar". Maka, itulah sebenarnya bahagian untuknya di bulan tersebut. Ada juga apabia Ramadhan tiba, apa yang paling difikirkannya adalah penat, maka itulah bahagian untuknya di bulan tersebut. Ada pula apabila bulan Ramadhan tiba, apa yang difikirkannya: "bilakah Ramadhan akan berakhir?", maka orang tersebut pada hakikatnya telahpun tertegah daripada mendapat keberkatan bulan Ramadhan.

Namun, bagi golongan yang benar-benar mengerti nilai kehambaan diri mereka kepada Allah s.w.t., apabila tibanya bulan Ramadhan, maka apa yang difikirkan adalah: "bagaimana untuk mencapai redha Allah s.w.t. sempena berada di bulan Ramadhan yang penuh dengan kerahmatan ini?". Inilah kunci kejayaan orang-orang yang berjaya mendapat kelebihan bulan Ramadhan tersebut. Selain daripada golongan ini, mereka tidak dapat mengambil manfaat daripada bulan Ramadhan yang penuh keberkatan tersebut

Bulan Ramadhan adalah bulan di mana nilai amal ibadah dilipat gandakan di sisi Allah s.w.t, kerana sifat pemurah Allah s.w.t.. Amalan puasa di siang bulan Ramadhan sangat berkait rapat dengan kesabaran, oleh kerana itulah, pahala amalan tersebut dilipat gandakan sebanyak-banyaknya, bahkan melebihi tujuh ratus kali ganda, tidak seperti amalan-amalan lain. Ini kerana, ganjaran bagi orang yang bersabar tiada terhitung banyaknya.

Amalan puasa bukan sahaja suatu amalan yang tersendiri di bulan tersebut, tetapi juga diiringi dengan amalan solat sunat di malam bulan Ramadhan tersebut. Kelazatan bulan Ramadhan lebih berganda jika ibadah puasa di siangnya disertai dengan ibadah solat sunat Tarawih di malamnya, samada secara sendirian ataupun secara berjemaah di masjid. Ini kerana, gandingan puasa di siang hari dan solat sunat di malam hari membina sebuah kitaran kehidupan yang penuh dengan santapan kerohanian.

Banyakkanlah juga membaca Al-Qur'an dengan menggandakan bacaan berbanding dengan bulan-bulan biasa kerana bulan Ramadhan adalah bulan peluang di mana suasana beribadah itu sangat menjadi penyokong kepada seseorang muslim untuk terus melakukan ketaatan.
Ia suatu yang tidak dapat dicapai melainkan hanya di bulan Ramadhan. Oleh yang demikian, banyakkanlah melakukan amal ibadah terutamanya membaca Al-Qur'an kerana ianya merupakan antara sunnah Baginda Nabi s.a.w.. Dengan banyak membaca Al-Qur'an di bulan Ramadhan jugalah, ikatan hati seseorang dengan bulan Ramadhan akan bertambah kuat kerana bulan Ramadhan itu sendiri adalah bulan Al-Qur'an atau bulan turunnya Al-Qur'an. Jadikanlah eratkanlah lagi hubungan kamu dengan bulan Ramadhan melalui bacaan dan hafalan Al-Qur'an serta mendalami makna-maknanya. Barakah dan kunci kejayaan seseorang dalam bulan Ramadhan ada pada kuatnya hubungannya dengan bulan Ramadhan dalam rangka untuk meningkatkan hubungannya dengan Tuhannya.

Bulan Ramadhan, bulan rahmat. Bulan Ramadhan, bulan Maghfirah (keampunan). Bulan Ramadhan bulan Itqu (pelepasan dari siksaan). Bulan Ramadhan, bulan Mahabbah. Demikianlah gedung-gedung anugerah dalam bulan anugerah, di mana kuncinya adalah sejauhmana kita menghargai kehadiran bulan Ramadhan tersebut. Niat adalah kunci dan asas. Jika seseorang tahu apa yang dia cari, maka mudahlah dia melakukan sebarang pengorbanan untuk mendapatkannya.

Saturday, July 10, 2010

MENYAMBUT KEDATANGAN BULAN SYAABAN

MENYAMBUT KEDATANGAN BULAN SYA’BAN
Oleh Mohd Yaakub bin Mohd Yunus

Apabila menjelmanya bulan Sya’ban maka ia memberi petanda bahawa kita semakin hampir untuk bertemu dengan Ramadan al-Mubarak, iaitu bulan di mana ALLAH melimpahkan pelbagai ganjaran pahala kepada hamba-hamba-NYA.

Oleh itu sebagai persiapan untuk kita menghadapi bulan Ramadan ini ada antara kita tertanya-tanya tentang apakah amalan-amalan yang disunnahkan oleh Rasulullah s.a.w pada bulan Sya’ban ini. Sebenarnya, pada bulan Sya’ban Rasulullah s.a.w memperbanyakkan amalan puasa hingga diriwayatkan bahawa baginda berpuasa sebahagian besar pada bulan tersebut.

Aisyah r.a berkata:

"Rasulullah s.a.w berpuasa hingga kami menyangkakan baginda tidak akan berbuka dan baginda berbuka hingga kami menyangkakan baginda tidak akan berpuasa. Aku sama sekali tidak pernah melihat Rasulullah s.a.w menyempurnakan puasa sebulan melainkan di bulan Ramadan dan aku tidak pernah melihatnya lebih banyak berpuasa melainkan pada bulan Sya’ban." – Hadis riwayat al-Bukhari di dalam Sahih al-Bukhari, hadis no: 1969.

Justeru, hanya amalan puasa sahaja yang dilakukan oleh Rasulullah s.a.w khusus untuk bulan Sya’ban. Selain dari amalan ini tiada hadis sahih menunjukkan baginda mengkhususkan amalan-amalan tertentu sempena bulan Sya’ban. Malah, tidak wujud riwayat-riwayat daripada para sahabat menunjukkan mereka menyambut kedatangan Sya’ban dengan amalan-amalan tertentu. Namun, amalan-amalan sunnah yang lazimnya dilakukan tanpa mengkhususkan waktu tertentu seperti membaca al-Quran, mengerjakan solat-solat sunat, membaca zikir-zikir dan doa-doa ma’thur boleh diteruskan sepanjang bulan Sya’ban sebagaimana bulan-bulan yang lain.

Tentang hikmah Rasulullah s.a.w meningkatkan amalan puasa pada bulan Sya’ban ini, al-Hafiz Ibn Hajar telah memberi komentar di dalam Fath al-Bari Penjelasan Sahih al-Bukhari, edisi terjemahan oleh Amiruddin, terbitan Pustaka Azzam, Jakarta (2005), jilid 11, muka surat 369:

"Hikmah yang lebih tepat untuk dikatakan berhubung persoalan ini, iaitu meningkatkan amalan puasa pada bulan Sya’ban adalah seperti yang disebutkan oleh hadis dengan darjat yang lebih sahih daripada hadis-hadis terdahulu. Hadis ini diriwayatkan oleh al-Nasaai dan Abu Daud serta disahihkan oleh Ibn Khuzaimah daripada Usamah bin Zaid r.a katanya:

"Aku bertanya Rasulullah s.a.w: Ya Rasulullah! Aku tidak pernah melihat engkau berpuasa dalam satu bulan berbanding bulan-bulan lain seperti engkau berpuasa dari sebahagian bulan Sya’ban. Baginda bersabda: Itulah bulan yang manusia melupakannya antara bulan Rejab dan Ramadan, iaitu bulan yang diangkat amalan-amalan kepada ALLAH, TUHAN semesta alam. Oleh itu, aku suka supaya amalanku diangkat ketika aku sedang berpuasa.” - Hadis riwayat al-Nasaai di dalam Sunan al-Nasaai , hadis no: 2317.

Oleh itu, sewajarnya kita menyambut kedatangan Sya’ban ini dengan menggandakan ibadah puasa. Namun, terdapat beberapa perkara yang sering diperdebatkan tentang puasa pada bulan Sya’ban ini. Antara perkara-perkara tersebut adalah:

1. Bolehkah kita berpuasa pada keseluruhan bulan Sya’ban?

2. Apakah dilarang berpuasa setelah melepasi pertengahan bulan Sya’ban?

Insya-ALLAH penulis akan membahaskan kedua-dua topik tersebut di dalam bab berikutnya.

Bolehkah Kita Berpuasa Keseluruhan Bulan Sya’ban?

Ulama berbeza pendapat sama ada dibenarkan kita berpuasa sepanjang bulan Sya’ban atau tidak. Sebahagian pendapat mengatakan bahawa kadangkala Nabi s.a.w berpuasa pada keseluruhan bulan Sya’ban dan adakalanya baginda berpuasa pada sebahagian besar bulan Sya’ban sahaja. Antara ulama yang berpegang kepada pendapat ini adalah Syeikh Abdul Aziz Abdullah bin Baz r.h.

Sebahagian yang lain berpendapat baginda tidak pernah berpuasa sebulan penuh pada mana-mana bulan menurut kalendar hijriyyah kecuali bulan Ramadan al-Mubarak. Manakala pada bulan Sya’ban pula baginda hanya berpuasa pada sebahagian besar sahaja.

Pendapat kedua ini disokong oleh al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani r.h seorang tokoh hadis bermazhab Syafie. Perbezaan pendapat ini disebabkan wujudnya hadis-hadis Nabi s.a.w yang yang menunjukkan baginda pernah berpuasa sepanjang bulan Sya’ban dan ada pula yang menidakkannya.

Mari kita perhatikan beberapa hadis yang dijadikan dalil bahawa baginda s.a.w pernah berpuasa sepanjang bulan Sya’ban.

Ummu Salamah r.a berkata:

"Sesungguhnya Rasulullah s.a.w tidak berpuasa sebulan penuh dalam setahun melainkan bulan Sya’ban dan baginda sambungkan Sya’ban dengan Ramadan." - Hadis riwayat al-Nasaai di dalam Sunan al-Nasaai, hadis no: 2313.

Menurut Abu Salamah r.a, Aisyah r.a berkata:

"Nabi s.a.w tidaklah berpuasa pada satu bulan yang lebih banyak berbanding bulan Sya’ban. Sesungguhnya baginda berpuasa sebulan penuh." – Hadis riwayat al-Bukhari di dalam Sahih al-Bukhari, hadis no: 1970.

Abdullah bin Abi Qais r.a mendengar Aisyah r.a berkata:

"Bulan yang paling disenangi Rasulullah s.a.w untuk berpuasa adalah bulan Sya’ban kemudian disambungnya dengan puasa Ramadan." – Hadis riwayat al-Nasaai di dalam Sunan al-Nasaai , hadis no: 2310.

Tetapi, hadis di atas seakan-akan bercanggah dengan hadis yang diriwayatkan oleh Aisyah r.a. Sedangkan, beliau menceritakan bahawa Nabi s.a.w hanya berpuasa sepanjang bulan pada bulan Ramadan sahaja. Aisyah berkata:

"Rasulullah s.a.w berpuasa hingga kami menyangkakan baginda tidak akan berbuka dan baginda berbuka hingga kami menyangkakan baginda tidak akan berpuasa. Aku sama sekali tidak pernah melihat Rasulullah s.a.w menyempurnakan puasa sebulan melainkan di bulan Ramadan dan aku tidak pernah melihatnya lebih banyak berpuasa melainkan pada bulan Sya’ban." – Hadis riwayat al-Bukhari di dalam Sahih al-Bukhari, hadis no: 1969.

Untuk menghilangkan percanggahan yang timbul ini, al-Hafiz Ibn Hajar menyatakan bahawa hadis yang menunjukkan Rasulullah s.a.w berpuasa sebulan penuh bulan Sya’ban sebenarnya hanya menunjukkan baginda biasa berpuasa sebahagian besar pada bulan tersebut. Tambahnya lagi:

"Imam al-Tirmizi menukilkan daripada Ibn al-Mubarak katanya: Menurut bahasa Arab, apabila seseorang berpuasa pada sebahagian besar dari sesuatu bulan maka boleh dikatakan dia berpuasa sebulan penuh. Dikatakan si fulan solat sepanjang malam padahal ada kemungkinan dia masih makan malam serta sibuk dengan urusan lain." – Rujuk Fath al-Bari karya Ibn Hajar ‘Asqalani, jil. 11, ms. 366.

Setelah didatangkan beberapa pendapat ulama yang menyatakan bahawa Rasulullah s.a.w kadangkala hanya berpuasa sebulan penuh pada bulan Sya’ban dan kadangkala hanya berpuasa sebahagian besar pada bulan itu, al-Hafiz Ibn Hajar menegaskan di dalam Fath al-Bari, jilid 11, muka surat 367:

"Tetapi, jelas sekali pendapat ini seakan-akan terpaksa. Namun, pendapat paling sahih adalah pendapat pertama, iaitu baginda hanya berpuasa sebahagian besar daripada bulan Sya’ban. Ia dikuatkan lagi melalui riwayat Abdullah bin Syaqiq yang dinukilkan daripada Aisyah serta dikeluarkan oleh al-Nasaai yang berbunyi:

"Baginda s.a.w tidak pernah berpuasa sebulan penuh sejak datang ke Madinah selain bulan Ramadan."

Manakala hadis yang dimaksudkan oleh al-Hafiz Ibn Hajar melalui Ibn Abbas r.a pula berbunyi:

"Nabi s.a.w tidak pernah berpuasa sebulan penuh selain puasa Ramadan." - Hadis riwayat al-Bukhari di dalam Sahih al-Bukhari, hadis no: 1971.

Hal ini dikuatkan lagi dengan hadis yang melarang kita berpuasa sehari atau dua hari sebelum puasa Ramadan bermula.

Menurut Abu Hurairah r.a, Nabi s.a.w bersabda:

"Jangan sekali-kali salah seorang antara kamu semua mendahului puasa Ramadan dengan puasa sehari atau dua hari kecuali orang yang sudah biasa berpuasa pada hari itu. Justeru, dia bolehlah berpuasa pada hari itu." - Hadis riwayat al-Bukhari di dalam Sahih al-Bukhari, hadis no: 1914.

Apakah Dilarang Berpuasa Setelah Melepasi Pertengahan Bulan Sya’ban?

Tanggapan bahawa dilarang berpuasa pada bulan Sya’ban setelah memasuki hari ke 15 adalah bersandarkan kepada hadis Abu Hurairah r.a.

Sabda Rasulullah s.a.w:

“Jika memasuki pertengahan Sya’ban, janganlah kamu semua berpuasa." - Hadis riwayat Abu Daud di dalam Sunan Abu Dawud, hadis no: 1990.

Ulama berbeza pendapat tentang status hadis ini. Sebahagian ulama menganggapnya daif (lemah). Al-Hafiz Ibn Hajar r.h berkata:

"Al-Rauyyani berkata: Haram mengerjakan puasa sehari atau dua hari sebelum Ramadan dan dimakruhkan mengerjakan puasa sejak pertengahan Sya’ban berdasarkan hadis lain. Sementara jumhur ulama berpendapat harus mengerjakan puasa sunat setelah pertengahan bulan Sya’ban. Mereka menganggap hadis yang melarang puasa pada waktu itu bermartabat daif (lemah). Sementara Imam Ahmad dan Ibn Ma’in mengklasifikasikan sebagai hadis mungkar (diriwayatkan oleh perawi daif serta menyalahi riwayat perawi tsiqah).
Imam al-Baihaqi menjadikan hadis di bab ini, iaitu hadis di dalam Sahih Bukhari, hadis no: 1914, bab: Tidak boleh mendahului Ramadan dengan berpuasa satu atau dua hari sebagai dalil untuk melemahkan hadis tersebut.
Imam al-Baihaqi r.h berkata: “Riwayat yang memberi keringanan (rukshah) untuk tetap berpuasa sehingga sehari atau dua hari menjelang Ramadan lebih sahih berbanding hadis al-Alla’, iaitu hadis riwayat Abu Daud. Hal yang sama, iaitu mendaifkan hadis tersebut telah dilakukan oleh al-Tohawi." – Rujuk Kitab Fath al-Bari karya Ibn Hajar al-‘Asqalani, jil. 11, ms. 86-87.

Namun begitu, Ibn al-Qayyim r.h di dalam Tahdib al-Sunan melihat bahawa hadis Abu Daud ini sahih. Bagi Ibn al-Qayyim, sebenarnya tidak wujud percangahan antara hadis yang melarang berpuasa setelah pertengahan bulan Sya’ban dan hadis yang membenarkannya. Bagi beliau, hadis al-Alla’ tersebut hanya melarang mereka yang ingin memulakan puasa bulan Sya’ban di pertengahan bulan tersebut secara sengaja dan ia bukan larangan bagi mereka yang telah memulakan puasa pada awal bulan Sya’ban.

Hadis Abu Daud ini juga telah disahihkan oleh Syeikh al-Albani dan Syeikh Ibn Bazz r.h. Oleh itu, penulis terbuka kepada kedua-dua pendapat yang melemahkan serta menguatkan hadis tersebut. Namun, jumhur ulama membolehkan berpuasa pada bulan Sya’ban diteruskan walaupun setelah pertengahan bulan tersebut.

KESIMPULAN

Jelas di sini bahawa Nabi s.a.w berpuasa pada sebahagian besar bulan Sya’ban.

Firman ALLAH S.W.T:

"Sesungguhnya bagi kamu pada diri Rasulullah itu terdapat contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredhaan) ALLAH dan (balasan baik) di hari akhirat serta dia menyebut dan mengingati ALLAH sebanyak mungkin (di waktu susah dan senang)." – Surah al-Ahzab: 21.

Justeru, marilah kita hidupkan bulan Sya’ban ini dengan memperbanyakkan ibadah puasa. Semoga kita semua sentiasa berada di dalam keredhaan ALLAH serta mendapat balasan yang baik di hari akhirat kelak.
Dicatat oleh Mohd Yaakub bin Mohd Yunus di 16:43